Dengan pengalaman lebih tiga dekad mengendalikan sebahagian besar eksport minyak kelapa sawit negara, Felda-Johore Bulkers Sdn Bhd (FJBSB) di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor, kini menjadi terminal minyak sayuran terbesar dan termaju di Malaysia. Pencapaian yang cukup membanggakan bagi FJBSB, sebuah syarikat persendirian dengan pemegang saham terbesar nya ialah Felda Holdings Bhd yang memiliki pegangan sebanyak 73 peratus. Syarikat itu mengendalikan antara 25 hingga 40 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport minyak kelapa sawit negara dengan mempunyai kemudahan tangki bagi memenuhi keperluan pasaran minyak kelapa sawit antarabangsa. Dengan menggunakan sistem berkomputer sepenuhnya, pengawalan kuantiti dan kualiti, pemerhatian teliti dari segi keselamatan dan kawalan serta kemudahan menerima, penyimpan dan menghantar diberi penekanan syarikat. Selain itu, FJBSB kini antara terminal paling lengkap untuk mengendalikan semua jenis penyimpanan dan pergerakan kargo bagi minyak tumbuhan di sini. Keberkesanan terminal berkenaan beroperasi terbukti hingga dianugerahkan sijil ISO 9001:2000 oleh Sirim QAS International. Selain itu, syarikat berkenaan turut dianugerahkan sijil ISO 14001:2004, OSHAS 18001:1999 dan HACCP oleh Lloyd. sekali gus membuktikan keberkesanan syarikat terbabit menjalankan tugas mereka. Malah, makmal FJBSB juga diiktiraf dan kini mendapat sijil ISO/IEC 17025. Sejak mula beroperasi pada 1974, terminal berkenaan komited menyediakan kemudahan penyimpanan minyak sayuran sahaja. Ia bertindak sebagai tempat penyimpanan dan pengendalian pelbagai jenis minyak sayuran yang diproses termasuk asid lemak. Selain itu, terminal berkenaan turut mempunyai kawasan besar untuk menyimpan biodiesel dalam jumlah yang banyak selain dilengkapi kemudahan tercanggih bagi mengawal pergerakan minyak. Kemampuan kemudahan penyimpanan di terimal berkenaan kian bertambah dari semasa ke semasa selain dilengkapi 18 jeti yang mempunyai saluran paip sendiri. Antara kejayaan FJBSB ialah memeterai kerjasama Tanjung Langsat Port Sdn Bhd (TLPSB) untuk menubuhkan Langsat Bulkers Sdn Bhd (LBSB) pada Ogos 2006. Perjanjian terbabit untuk membina kemudahan pusat simpanan biodiesel bernilai RM23 juta di Pelabuhan Tanjung Langsat, Pasir Gudang, Johor. Langkah strategik jangka panjang itu bagi melengkapkan logistik dan infrastruktur yang sangat diperlukan bagi menjayakan matlamat menjadikan Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat sebagai Taman Biofuel terulung di Malaysia. |