Tanjung Langsat Port Sdn Bhd menerima pelaburan sebanyak RM500 juta dari Technip Group bagi pembinaan kilang pengeluaran paip fleksibel di Pelabuhan Tanjung Langsat di Pasir Gudang, Johor. Pengarah Urusannya, Mazlan Othman berkata, pembinaan kilang oleh anak syarikat Asiaflex Products Sdn Bhd itu akan bermula pada suku kedua tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2010. "Kemudahan kilang ini mampu menghasilkan sekurang-kurang 40,000 tan produk setahun untuk dieksport menerusi Pelabuhan Tanjung Langsat . "Setiap unit produk yang dihasilkan sebanyak 300 tan dan ia bakal membuktikan kemampuan pelabuhan ini mengendalikan kargo muatan berat berbanding pelabuhan lain, " katanya. Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian usahasama antara Tanjung Langsat Port Sdn Bhd dan Asiaflex Products Sdn Bhd di sini, hari ini. Pada majlis itu, Tanjung Langsat Port diwakili oleh Pengarah Urusannya, Mazlan Othman manakala Asiaflex Products pula diwakili oleh Pengarahnya, Edgar Pushparatnam dan Syed Feizal Syed Mohammad. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johor Corporation (JCorp), Kamaruzzaman Abu Kassim. Di bawah perjanjian itu, seluas dua hektar tanah di kawasan perindustrian Tanjung Langsat akan dipajak untuk tempoh selama 30 tahun bagi pembangunan kilang pengeluaran paip fleksibel oleh Technip Group. Mengulas lanjut Mazlan berkata, sehingga kini sebanyak RM160 juta telah dibelanjakan bagi pembangunan infrastruktur jeti dan tanah di Pelabuhan Tanjung Langsat. Pelabuhan itu kini dalam proses membina tiga pelabuhan kargo cecair tambahan yang bernilai RM165 juta dan sebuah kargo khusus untuk Asiaflex Products bernilai RM130 juta. Kesemua kemudahan itu dijangka siap pada 2009. Sementara itu, Di Tullio berkata, pembinaan kilang di pelabuhan itu menyamai dua kilangnya yang lain iaitu di Le Trail, Perancis dan Victoria, Brazil. Technip Group yang berpengkalan di Paris merupakan peneraju dalam industri minyak dan gas yang telah lama bertapak di Asia Pasifik. |