Pelaburan di kawasan Perindustrian Pasir Gudang dan Tanjung Langsat dekat sini dijangka melepasi RM1.3 billion pada tahun ini, melepasi jumlah pelaburan yang diterimanya pada tahun lalu. Ketua Eksekutif Johor Corporation, Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, bagi lapan bulan pertama tahun ini, kedua-dua kawasan perindustrian itu sudah menerima pelaburan sebanyak RM900 juta. Beliau yang juga Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang berkata, dengan usaha dan promosi lebih agresif sepanjang tahun ini jumlah pelaburan tersebut dijangka lebih tinggi berbanding tahun lalu. "Dengan pelaburan asing yang tinggi, aspek keselamatan adalah penting demi meningkatkan kkeyakinan para pelabur di Pasir Gudang," katanya ketika berucap merasmikan latihan kecemasan Pasir Gudang emergency Mutual Aid atau Pagema 2007 di Idemitsu Malaysia Sdn Bhd., dekat sini hari ini. Muhammad Ali menjelaskan, sejumlah RM285 juta sudah dibelanjakan bagi menyediakan kemudahan dan infrastruktur di Pelabuhan Tanjung Langsat dan RM500 juta lagi bagi pembangunan akan datang, termasuk membesarkan jeti. "Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat ini akan turut dilengkapkan dengan kemudahan pelabuhan bagi aktiviti biodiesel dan kargo berorientasikan kargo pukal cecair. "Pelabuhan Tanjung Langsat yang sedang pesat membangun akan menjadi pelabuhan ketiga terpenting di negeri Johor selain Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP)," katanya. Kawasan Perindustrian Pasir Gudang dan Tanjung Langsat terletak dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan kini 486 hektar daripada keseluruhan 1,737 hektar telah dimajukan. Kedua-dua kawasan berkenaan itu ditadbir Johor Corporation sejak 30 tahun dulu dan sehingga kini lebih 350 kilang beroperasi di kawasan berkenaan. |