Johor Corporation Bhd (JCorp) berharap dapat menjadikan Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat hab serantau biofuel pertama. Ketua Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, berkata semua kemudahan di kompleks perindustrian itu terdapat di Tanjung Langsat dan ia membolehkannya menjayakan konsep hab biofuel serantau. "kita memang ingin menjadi yang pertama diikuti yang lain," katanya selepas menyaksikan majlis memeterai perjanjian antara Kulim (Malaysia) Bhd, anak syarikat JCorp dengan Peter Cremer (Singapore) GmbH, semalam. Perjanjian itu mewujudkan sebuah perkongsian Malaysia-Jerman bagi membina dua loji biodiesel baru bagi mengeluarkan biofuel dan derivatif kimia hiliran, setiap satu di Singapura dan Johor. Muhammad Ali berkata, JCorp melabur lebih RM350 juta bagi mengadakan prasarana termasuk pelabuhan dan kemudahan pengendalian kargo cecair, penyimpanan dan kemudahan logistik lain di Tanjung Langsat. |