PELABUHAN Tanjung Langsat, Johor terus mendapat perhatian pelabur asing dengan yang terbaru, syarikat kejuruteraan minyak dan Gas Perancis, Technip Group yang akan melabur RM500 juta bagi membina kilang mengeluarkan paip fleksibel.
Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Technip Group, Bernard de Tulio, berkata pembinaan kilang berkenaan di tapak seluas 20 hektar akan bermula pada suku kedua ini, dan ia dijadualkan beroperasi pada 2010. Beliau berkata, apabila beroperasi sepenuhnya, kilang yang akan dikendalikan anak syarikat Technip Group, Asiaflex Product Sdn Bhd itu mampu menghasilkan 200 kilometer paip fleksibel saiz lapan inci setahun.
“Ini akan membolehkan kami mengeksport 20,000 tan paip itu setahun, dengan sasaran eksport utama ke Negara di Asia Pasifik serta India,” katanya sambil menambah paip fleksibel berkenaan mempunyai kekuatan mengendalikan sehingga 300 tan bebanan.
Beliau berkata demikian pada majlis memeterai perjanjian sewaan tapak bagi kilang berkenaan antara Asiaflex dan Tanjung Langsat Port Sdn Bhd. Menerusi perjanjian itu, Tanjung Langsat Port akan menyewakan tapak berkenaan kepada Asiaflex bagi tempoh 30 tahun dengan opsyen lanjutan 30 tahun.
Pada majlis itu Asiaflex diwakili Pengarahnya, Edgar Pushparatnam dan Syed Feizal Syed Mohammad, manakala Tanjung Langsat Port, Mazlan Othman.
Hadir sama Pengarah Urusan Tanjung Langsat Port, Mazlan Othman.
Technip menubuhkan ibu pejabat serantaunya di Kuala Lumpur pada 1982 dan sudah menyiapkan kira-kira 2,000 projek di darat, pesisir pantai dn laut dalam di Asia Pasifik.
Asiaflex ditubuhkan Technip sebagai sebahagian program bagi mengukuhkan lagi segmen perniagaan laut dalamnya.
|